Pada hari ini, dapat kita perhatikan ramai muslimah mulai sedar akan
kewajiban mengenakan tudung. Kita dapat lihat bagaimana seorang muslimah
sebelumnya tidak bertudung, kemudian mula mengenakan tudung. Alhamdulillah,
Rahimahunnallah. Walau bagaimanapun, sayangnya kebanyakan dari mereka masih
belum mengenakan tudung yang benar-benar sesuai dengan kehendak syariat.
Kebanyakan dari mereka memakai tudung mengikut trend atau hanya ingin dilihat
lebih islamik. Mereka lebih mementingkan keanggunan, kecantikan tanpa
mempedulikan apakah benar tudung mereka betul atau tidak.
Kebanyakan tudung yang dijual hari ini tidak cukup untuk menutup aurat
secara sempurna melainkan meninggalkan celah-celah yang memperlihatkan aurat.
Menurut jumhur ulama, aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan
telapak tangan. Sebagaimana ulama ahli tafsir Imam Al-Qurthubi berkata,
pengecualian itu adalah pada wajah dan telapak tangan.
Yang menunjukkan hal itu
adalah apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah:
Asma binti Abu
Bakar menemui Rasulullah sedangkan ia memakai pakaian tipis. Maka Rasulullah
berpaling darinya dan berkata kepadanya : “Wahai Asma ! Sesungguhnya jika
seorang wanita itu telah mencapai masa haid, tidak baik jika ada bagian
tubuhnya yang terlihat, kecuali ini.” Kemudian beliau menunjuk wajah dan
telapak tangannya. Allah Pemberi Taufik dan tidak ada Rabb selain-Nya”.
Maka, selain muka dan telapak tangan, tidak boleh terlihat walaupun sedikit.
Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam melarang para wanita
muslimah berpakaian ketat. Dan batasan ketat adalah tergambarnya bentuk salah
satu anggota tubuh yang termasuk aurat. Usamah bin Zaid pernah berkata:
Rasulullah pernah memberiku baju Quthbiyah yang tebal yang
merupakan baju yang dihadiahkan oleh Dihyah Al-Kalbi kepada beliau. Baju itu
pun aku pakaikan pada isteriku. Nabi bertanya kepadaku : “Mengapa kamu tidak
mengenakan baju Quthbiyah ?” Aku menjawab : Aku pakaikan baju itu pada istriku.
Nabi lalu bersabda : “Perintahkan ia agar mengenakan baju dalam di balik
Quthbiyah itu, karena saya khawatir baju itu masih bisa menggambarkan bentuk
tulangnya.” (Ad-Dhiya Al-Maqdisi dalam Al-Hadits Al-Mukhtarah I/441; Ahmad
dan Al-Baihaqi dengan sanad Hasan).
Sungguh menghairankan sesetengah muslimah yang sudah menyedari akan
wajibnya menutup aurat, namun di dalam hatinya masih ada keinginan untuk
menonjolkan bahagian-bahagian tubuhnya agar terlihat indah di mata laki-laki. Waliyyadzubillah.
Sehingga mereka pun memakai tudung secara ala-kadar sahaja. Kesilapan
muslimah yang menggayakan tudung pada hari ini dapat dibahagikan kepada dua
bahagian.
1.Antara tudung yang popular dipakai masa kini adalah tudung lilit atau tudung pendek.
Hampir kebanyakan muslimah menggayakan tudung jenis di mana banyak dipengaruhi
oleh pemakaian artis-artis tempatan. Rata-rata daripada mereka akan mengatakan
tudung jenis ini ringkas, tidak rimas dan senang dipakai. Namun tidak syak lagi
pemakaian jenis ini mendedahkan dada. Padahal telah jelas dalil menyebutkan:
“Dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka…” (QS.
An Nur : 31)
2. Antara kebiasaan yang selalu dilakukan muslimah pada hari ini adalah
memasukkan tudung ke dalam
baju atau memakai jaket atau coat diluarnya. Ini menyebabkan hilangnya fungsi tudung untuk
menutupi bentuk tubuh bahagian atas. Memang terdapat pelbagai alasan diberi
untuk mengenakan tudung jenis ini. Pertama adalah untuk keperluan keselamatan,
misalnya ingin memasuki makmal, tudung perlu dimasuki ke dalam coat bagi
mengelak dari disambar api, bahan kimia dan sebagainya. Penyelesaian untuk
permasalahan ini, pakailah coat yang besar dan longgar sehingga tidak
menampakkan langsung bentuk tubuh bahagian atas. Namun, kalau kita lihat
situasi hari ini, sukar untuk melihat mereka yang memakai coat yang disebutkan
itu. Kedua pula, adalah keperluan akademik. Mereka menggayakan tudung
jenis ini dengan alasan kekemasan seperti yang dapat kita lihat pada
badan-badan uniform seperti Pasukan Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet Remaja
Sekolah dan lain-lain lagi. Sukar untuk berkompromi dengan alasan ini kerana
tidak bolehkah mengemaskan sahaja tudung yang dilabuh itu? Mengapakah mereka
tidak boleh mencotohi Pasukan Puteri Islam yang tampak molek dengan tudung
tidak dimasukkan ke dalam baju tetapi masih boleh berfungsi sebagai satu
pasukan? Ini adalah persoalan yang perlu diperhalusi lagi.
Kesimpulannya, dapat dinyatakan disini, jumhur ulama berpendapat bahawa
panjang minima bagi suatu tudung adalah sampai menutupi dada dengan sempurna.
Namun ini bukan bererti sekadar melepasi sepanjang itu. Kerana seringkali
diterpa angin, maka bahagian dada akan tersingkap. Maka, tidak ada pilihan lain
bagi muslimah kecuali mengenakan tudung yang lebih panjang dari itu. Bahkan
sangat baik bila tudung menjulur panjang sampai ke punggung. Dan inilah
pendapat sebagian ulama dengan mengambil zahir dari perintah Allah pada surat
Al-Ahzab ayat 59:
“Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak
perempuanmu dan istri-istri orang mumin : “Hendaklah mereka mengulurkann
jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” (QS. Al Ahzab : 59)
Walau demikian kami bersyukur kepada Allah, bahawa sekarang mulai terlihat
kesedaran dikalangan muslimah di negara kita untuk mulai mengenakan tudung.
Walaupun sebahagian besar masih belum memenuhi kriteria syar’i, namun kami
berharap saudari-saudari kita muslimah sentiasa berproses dan memperbaiki diri
dalam pemakain tudung hingga sesuai dengan apa yang ditentukan oleh Allah dan
Rasul-Nya. Kita berharap semoga kaum muslimah kita yang dimuliakan oleh
Allah, sentiasa memperbaiki diri dan menjaga kehormatan dirinya dengan taat
kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Beragama dengan kaedah yang benar sesuai
Al Qur’an dan As Sunnah, bukan hanya mengikuti perasaan, atau mengikuti apa
yang dianggap baik oleh kebanyakan orang.
Wallahu ta’ala a’lam....
Tidak ada komentar:
Posting Komentar